Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim atas pengumuman pemberian baucar kepada semua murid Tahun 4, Tahun 5 dan Tahun 6 di sekolah rendah, semua murid sekolah menengah dan semua pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), dalam ucapan perasmian beliau di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang ke-41 pada 30 Mei 2024.
Pemberian baucar buku ini semestinya dapat menyuburkan lagi budaya membaca dalam kalangan golongan muda dan sekaligus menyuntik semangat membaca masyarakat menerusi aktiviti pembelian buku.
Baucar buku ini juga bakal merangsang aktiviti penerbitan buku-buku baharu yang lebih bermutu selaras dengan saranan YAB Perdana Menteri yang mahukan masyarakat Malaysia mempunyai keupayaan menilai maklumat, menguasai ilmu pengetahuan dan mencari hikmah dalam kehidupan mereka.
MABOPA yakin industri perbukuan negara bersedia untuk sama-sama membangunkan aspirasi YAB Perdana Menteri ini dan berharap program baucar buku ini diteruskan lagi pada masa akan datang dalam usaha membudayakan pembacaan berkualiti demi pembangunan masyarakat Madani yang mampan, progresif dan berilmu.