Mabopa, MBA dan Shopee menangani isu buku teks

Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa) dan Persatuan Penjual Buku Malaysia (MBA) telah menyeru ahli-ahli mereka yang memiliki hak pengedaran rasmi buku teks dan buku kerja sekolah untuk meningkatkan peruntukan stok di kedai Shopee mereka bagi menangani masalah pengedaran buku teks dan buku kerja di seluruh negara.

KUALA LUMPUR, 3 Februari 2021 – Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa) dan Persatuan Penjual Buku Malaysia (MBA) telah menyeru ahli-ahli mereka yang memiliki hak pengedaran rasmi buku teks dan buku kerja sekolah untuk meningkatkan peruntukan stok di kedai Shopee mereka bagi menangani masalah pengedaran buku teks dan buku kerja di seluruh negara.

Isu ini dilaporkan awal minggu ini di mana golongan ibu bapa di Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan menyuarakan kekecewaan mereka apabila tidak dapat mencari buku teks dan buku kerja fizikal untuk anak-anak mereka.

Dengan bantuan daripada platform e-dagang Shopee, persatuan-persatuan ini telah mewujudkan sebuah portal “Kedai Buku Shopee” yang memudahkan para ibu bapa untuk mencari dan dapatkan buku-buku yang diperlukan di satu tempat khas.

Presiden Mabopa Arief Hakim Sani Rahmat berkata, “Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 tidak sepatutnya menjadi alasan untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran dihentikan. Pendidikan amat penting bukan hanya untuk ibu bapa tetapi juga untuk masa depan negara. Sebagai penerbit, kami sentiasa berusaha untuk menerbitkan buku teks berkualiti tinggi serta memastikan ketersediaan di seluruh negara. Oleh itu, kami telah menyeru semua ahli kami untuk meningkatkan stok mereka untuk dijual atas talian. Pada masa yang sama, kami menghubungi penjual buku dan pengedar kami untuk membincang cara-cara untuk memudahkan penjualan buku pelajaran melalui Shopee. Shopee juga amat responsif dan memberi sokongan serta infrastruktur baik kepada kami untuk menyelesaikan isu nasional ini.”

Tambah Presiden MBA Keith Thong, “Pada zaman teknologi ini, penjual-penjual buku bersedia untuk berkhidmat. Ahli-ahli kami datang daripada latar belakang yang berbeza, dengan bidang pengkhususan dari buku terlaris, buku teks, buku rujukan, panduan penyemakan serta ebook dan kursus pembelajaran atas talian. Untuk membantu generasi yang mahir dalam teknologi, kepantasan “on demand” amat penting dan kini penjual buku sentiasa berusaha untuk memajukan diri bagi menawarkan perkhidmatan yang terbaik. Ribuan terima kasih kepada Shopee sebagai sebuah pasaran dalam talian yang mantap dan mesra buku.

Pengarah Urusan Serantau Shopee Ian Ho berkata, “Menyahut permintaan Mabopa, MBA dan para ibu bapa seiring dengan janji kami untuk membantu masyarakat setempat. Selain menyediakan portal Kedai Buku Shopee untuk para ibu bapa, kami juga akan memberikan sokongan tambahan kepada komuniti dengan baucar pulangan tunai Syiling Shopee 20%. Walaupun ini tidak banyak, kami berharap usaha kami dapat membantu mengurangkan tekanan yang dilalui oleh para ibu bapa serta mendorong pembelajaran kerana kami percaya bahawa bakat dapat dicungkil dan dikembangkan melalui pendidikan.”

Bagi mereka yang mencari buku teks dan buku kerja di Shopee, buku-buku tersebut boleh didapati di https://shopee.com.my/kedaibukushopee, untuk pelajar Tahun Satu hingga Tingkatan Enam. Para ibu bapa juga boleh menggunakan kod baucar “KEDAIBUKU10” untuk mendapatkan pulangan tunai Syiling Shopee 20% dengan nilai sehingga RM10 untuk pembelian buku-buku di bawah inisiatif “Kedai Buku Shopee”.

TAMAT

Copyright © 2024 Malaysian Book Publishers Association (PPM-002-10-14011969)