Hari Buku Dunia – Kenyataan Media dari Industri Buku Dunia

International Publishers Association (IPA) publishing a joint statement about the importance of books and calling on governments around the world to support our industry alongside the International Authors Forum, the European Publishers and Booksellers Federation, IFRRO and STM in conjunction with the celebration of The World Book Day last 23 April 2020.

HARI BUKU SEDUNIA

Pengarang, Penerbit dan Penggiat Industri Buku
Menuntut Sokongan Padu Antarabangsa

Kami yang menurunkan tandatangan di bawah sebagai wakil industri buku global mendesak kerajaan di seluruh dunia bagi mengiktiraf, menyokong dan meraikan kepentingan buku, instrumen penyelesaian pembelajaran serta kandungan ilmiah dan professional dengan menyediakan pakej rangsangan ekonomi bagi mempertahankan sektor penerbitan berkaitan serta rantaian nilai yang terlibat.

Hari ini, pada hari buku sedunia 2020, kita mengiktiraf peranan penting buku dalam masyarakat. Buku adalah wahana untuk kita belajar, meneroka dan berinteraksi dengan budaya lain serta membina impian dan harapan. Melaluinya, kita semakin memahami antara satu sama lain. Melaluinya juga kita belajar membina rasa empati. Bahkan, buku diperlukan untuk penyelidikan ilmiah dan akademia, bagi mendidik anak-anak kita dan sebagai instrumen penting dalam pendidikan sepanjang hayat. Buku membantu kita menjadi manusia yang lebih baik.

Buku memerlukan para pengarang untuk menulis dan menggambarkannya, para penerbit untuk melabur dalam penghasilannya, para penjual buku untuk membawanya kepada pembaca, dan organisasi pengurusan secara kolektif bagi melindungi hak cipta mereka. Semua rantaian nilai yang terlibat ini amat penting bagi masyarakat dan ia sekarang dalam situasi terancam.

Dalam situasi penjarakan sosial hari ini, kepentingan buku sudah mula diberikan penekanan semula. Kekal berada di rumah masing –masing dan mengisi masa itu dengan membaca buku adalah salah satu cara menjaga dan mengambil berat mengenai orang lain. Akhbar dan blog di seluruh dunia juga ada menyediakan senarai buku yang sesuai untuk dibaca sementara kita kekal berada di rumah masing-masing, sama ada bagi mengisi masa ataupun bagi memahami apa yang sedang berlaku. Buku akhirnya menjadi teman yang dicari dalam situasi sukar begini.

Pada situasi sekarang, ibu bapa di banyak negara terpaksa belajar menjadi pendidik. Para guru perlu mencari kaedah baru bagi menyalurkan bahan pembelajaran mereka kepada para pelajar. Penulis dan penerbit di seluruh dunia juga memberi respon dengan melesenkan kandungan mereka serta beralih kepada perkhidmatan digital.

Pembacaan buku atas talian seperti “Read The World” meledak penggunaannya, terutamanya apabila penerbit dan penulis proaktif memberikan sokongan kepada ibu bapa. Dunia juga bergantung kepada kajian dan penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal pakar bagi membimbing mereka dalam membentuk polisi dan dasar kesihatan seterusnya menghasilkan vaksin.

Pada ketika ini, pelaburan oleh para penerbit jurnal bagi mengesahkan hasil penyelidikan yang diperoleh serta penyebaran maklumat secara meluas berkaitannya adalah sangat penting. Malah, mereka secara sukarela mengorak satu langkah ke hadapan dengan memastikan hasil penyelidikan berkaitan COVID-19 sedia untuk diakses secara percuma dan bebas untuk digunakan semula.

Sama ada kita bercakap mengenai buku untuk khalayak umum, buku kanak-kanak, sumber pendidikan, ataupun penyelidikan ilmiah; kumpulan pengarang, penerbit, pengedar, penjual buku serta kumpulan organisasi pengurusan sudah memberikan respon dengan pantas bagi menyesuaikan diri apabila diperlukan, seterusnya memainkan peranan yang bertanggungjawab dalam masyarakat.

Virus COVID-19 memberi kesan amat buruk kepada semua orang tidak kira di mana mereka berada. Ekonomi jatuh merudum dan tidak ada sesiapa pun yang dapat meramalkan bilakah keadaan akan kembali pulih seperti sediakala. Kesannya sungguh dahsyat terhadap industri kreatif dunia, termasuk sektor buku.

Dalam kebanyakan negara, industri buku sudah di penghujung nafas. Kita perlu mencari jalan bagi memastikan masa depan bagi pengarang, penerbit, editor, pereka, pengedar, penjual buku dan mereka yang bekerja dalam persatuan dan pertubuhan kolektif, sehingga industri buku dapat bangkit kembali selepas wabak ini berjaya diatasi.

Dunia tanpa buku baru ibarat dunia yang kosong, kelam dan mundur. Kami sudah mengerahkan segenap tenaga bagi menghadapi krisis ini, namun kami tetap memerlukan bantuan, pertolongan dan sokongan untuk terus bertahan. Kami memerlukan kerajaan untuk sama-sama berganding bahu dalam membantu kami dalam mengharungi situasi getir ini.

#StayAtHomeReadABook
#WorldBookDay
#BooksAreEssential
#StayAtHome

Copyright © 2024 Malaysian Book Publishers Association (PPM-002-10-14011969)