KENYATAAN MEDIA: Belanjawan 2020 Tiada Berita Gembira Untuk Industri Buku.

MABOPA menggesa supaya kerajaan memberikan perhatian khusus kepada kejatuhan industri buku tempatan. Industri kreatif, budaya dan intelektual ini sedang berdepan dengan pelbagai cabaran; disrupsi digital, kejatuhan jualan retail, kejatuhan pembelian perpustakaan, dan kelemahan tabiat membaca buku.

Pada awal tahun ini, MABOPA telah menghantar memorandum kepada pihak kerajaan dengan cadangan-cadangan untuk memulihkan minat membaca dan seterusnya industri buku tempatan.

Antara cadangan utama kami dalam memorandum tersebut ialah ;

  1. Memberikan dana untuk kempen membaca kebangsaan dan kajian tabiat membaca kebangsaan.
  2. Mengembalikan insentif pelepasan cukai pendapatan individu untuk pembelian bahan bacaan sebanyak RM1000.
  3. Menaikkan dana untuk perpustakaan pelbagai jenis yang telah banyak dipotong sebelum ini. 
  4. Supaya Baucar Buku untuk pelajar pengajian tinggi di kembalikan semula.
  5. Mendanai pesta buku kebangsaan, negeri dan daerah sebagai aktiviti untuk menggalakkan pembacaan di peringkat akar umbi. 

MABOPA berdukacita apabila cadangan-cadangan kami ini tidak kelihatan dalam pembentangan Belanjawan 2020. Tahun 2020 bakal menjadi tahun yang kelam untuk industri buku tanpa sebarang rangsangan polisi dan fiskal dari kerajaan. Agenda membangunkan masyarakat yang membaca buku umpama cakap kosong semata-mata.

Dari segi pendanaan perpustakaan, MABOPA juga tidak melihat ada peningkatan yang bermakna. Umumnya, perpustakaan kita sudah lama tidak diberi dana yang secukupnya. Buku-buku dalam perpustakaan sekarang, ada yang sudah usang dan ketinggalan zaman. Bagaimana kita mahu menarik minat membaca anak jika bukunya sudah tidak mengikut trend semasa?

Dalam masa sama, kami juga dimaklumkan tentang cadangan kerajaan untuk membina beberapa perpustakaan digital yang baru. Pembinaan perpustakaan digital merupakan signal jelas kepada industri buku untuk menambah terbitan dalam format digital. Data terkini menunjukkan sudah ada 20 ribu tajuk tempatan diterbitkan dalam format ebook. Ebooknya sudah ada, tinggal menunggu perolehan dari perpustakaan digital ini untuk dimanfaat oleh rakyat.

Mengambil maklum Belanjawan 2020 yang memfokuskan pada pembangunan ekonomi digital, maka persatuan akan menggiatkan lagi program pada tahun hadapan yang memfokuskan pada e-dagang (ecommerce), emarketplace dan konten digital tempatan. Industri buku ini tidak asing dengan perubahan teknologi dan akan sentiasa berevolusi untuk memenuhi keperluan pembaca.

Terima kasih.

Copyright © 2024 Malaysian Book Publishers Association (PPM-002-10-14011969)