Beijing International Book Fair (BIBF) merupakan pameran perdagangan hak cipta yang terbesar di China. Untuk penerbit Malaysia, berikut adalah beberapa tip untuk menguatkan pemasaran anda di pameran itu:
Tentang BIBF:
- Pavilion Malaysia biasanya terletak di dalam dewan yang sama dengan penerbit-penerbit dari China. Editor mereka akan berjalan-jalan di pameran itu untuk mencari kandungan baru, tetapi sesetengah editor itu tidak mampu membaca atau bertutur dalam bahasa Inggeris.
- Kebanyakan pengunjung yang fasih bahasa Inggeris hanya bertujuan untuk menjual hak cipta mereka sahaja.
- Biasanya, sekurang-kurangnya seorang penterjemah sukarelawan akan bertugas di Pavilion Malaysia, tetapi penterjemah tersebut mungkin hanya mampu menterjemah antara bahasa Inggeris dan bahasa Cina sahaja jika mereka bukan orang Malaysia. Namun, staf dari penerbit buku bahasa Cina dari Malaysia (seperti Pelangi dan Odonata) akan memberi bantuan apabila diperlukan.
- Cuba dapatkan maklumat log masuk ke halaman web BIBF daripada pengetua rombongan (iaitu MBKM bagi tahun 2024). Anda boleh menyemak direktori pempamer seluruh BIBF dan membuat temujanji dengan penerbit lain terlebih dahulu.
Tentang Jualan Hak Cipta:
- Dalam China, terdapat dua jenis syarikat penerbitan yang utama, iaitu:
- Penerbit Kerajaan:
China mempunyai kira-kira 600 penerbit rasmi yang dimiliki kerajaan. Mereka mempunyai hak eksclusif untuk memohon ISBN dan menerbit buku secara sah. Nama syarikat mereka biasanya berakhir dengan “出版社” atau “出版集团” (iaitu publishing house atau publishing group). Anda boleh mengutamakan peluang kerjasama dengan penerbit-penerbit jenis ini kerana mereka lebih baik dari segi pembayaran royalti. - Syarikat Buku:
Syarikat buku merupakan pencipta kandungan independant yang bekerjasama dengan (dan bergantung pada) penerbit kerajaan untuk menawar ISBN kepada penerbitan mereka. Syarikat buku tidak berhak untuk memohon ISBN bersendirian. Walaupun sesetengah syarikat buku benar-benar bagus dan mampu menghasilkan buku best-seller dan menjual berjuta-juta Ringgit, anda dinasihatkan supaya berunding untuk mendapatkan bayaran pendahuluan yang lebih tinggi daripada mereka.
- Penerbit Kerajaan:
- Untuk meningkatkan peluang anda di BIBF, lebih baik jika anda boleh menyediakan sinopsis dalam Bahasa Cina (simplified Chinese) selain Bahasa Inggeris.
- Jika anda tidak dapat mendapatkan penterjemah profesional, cubalah menggunakan alat terjemahan seperti ChatGPT, Gemini atau Google Translate. Untuk memastikan ketepatan terjemahan, anda boleh semak semula dengan ChatGPT atau Gemini dengan ‘prompt’ seperti berikut:
Please hep me verify if these translations are accurate.
Original text:
[teks original]
Translations:
[teks terjemahan]
Context:
[later belakang yang lebih terperinci]
- Syarikat kami bernasib baik untuk menjual beberapa hak cipta novel kepada sebuah penerbit Rusia dalam BIBF yang terakhir. Ini bermakna terdapat juga banyak peluang lain dalam BIBF ini selain menjual kepada penerbit China.
- Sila pastikan WeChat anda berfungsi dengan sempurna dalam BIBF. Orang China sangat bergantung pada WeChat sampai sesetengah mereka tidak lagi membawa kad nama mereka. Apabila anda menambah kontak baru dalam WeChat, cuba isikan remark supaya mencatatkan nama dan organisasi mereka. Ini adalah kerana display name mereka biasanya berbeza dengan nama sebenar mereka. Ambillah satu selfie juga untuk memudahkan pengingatan.
- Anda boleh sediakan PDF katalog buku anda dan beberapa halaman contoh dalam telefon anda supaya boleh menghantar melalui WeChat nanti.
- Jika anda mendapati komunikasi dengan penerbit China menyusahkan, anda boleh menggunakan khidmat agensi hak cipta sebagai wakil anda. Carilah agensi yang mempunyai reruai di pameran seperti BIBF untuk memastikan mereka sah dan bukan scammer.
Tentang Pembelian Hak Cipta:
- Bukan semua buku layak untuk memohon geran penerbitan dari China.
- Kategori buku yang berkemungkinan dapat geran adalah kesusasteraan klasik, dan buku yang berkaitan dengan budaya Cina.
- Geran penerbitan sentiasanya datang dengan beberapa syarat yang mesti dipenuhi. Salah satu syarat utama adalah memastikan buku tersebut benar-benar diedar dalam pasaran.
- Anda boleh bertanya penjual hak cipta sama ada mereka boleh juga bercetak untuk anda. Percetakan di China mungkin lebih murah daripada Malaysia walaupun bukan semestinya.
Semoga artikel ini memberi manfaat dan diiringi ucapan selamat maju jaya.
Sekian,
Khor Shuqi
Odonata Publishing