Kenyataan Media Mengenai Artikel Daripada China Press

Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) merujuk kepada artikel daripada laman web China Press bertarikh 22 Disember 2023 yang bertajuk: “出版商书商炮轰主办方 书展摊位早被霸占” yang diterjemahkan kepada “Penerbit dan Kedai Buku Mengkritik Penganjur, Gerai Pameran Buku Antarabangsa Kuala Lumpur Dikuasai Dengan Cepat.”

MABOPA ingin menegaskan bahawa kami bukanlah penganjur Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) seperti yang dinyatakan. Segala rujukan kepada kami dalam laporan tersebut adalah satu tuduhan yang tidak berasas.

Walaupun pihak China Press menyatakan bahawa laporan tersebut diambil daripada Malaysia Gazette, tidak ada dinyatakan sama sekali dalam laporan Malaysia Gazette yang mengaitkan MABOPA seperti yang dinyatakan oleh China Press.

MABOPA sentiasa berusaha untuk melindungi hak dan kepentingan para penerbit buku di Malaysia dan mengambil maklum akan segala aduan, keluhan, desakan, kritikan dan cadangan tentang PBAKL.

Sebagai salah satu organisasi yang menjadi ahli kepada Jawatankuasa Pengelola PBAKL (JKP PBAKL), MABOPA memanfaatkan saluran ini untuk sentiasa berbincang tentang semua isu PBAKL sama ada dengan ahli-ahli JKP yang lain atau secara terus dengan Pengerusi JKP PBAKL dan Penganjur PBAKL iaitu Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM).

Kenyataan media bersama bertarikh 19 Disember 2023 adalah hasil perbincangan antara MBKM dengan beberapa ahli JKP PBAKL yang lain. Ingin kami nyatakan di sini bahawa pendirian MABOPA tidak pernah berubah dan sentiasa selari dengan usaha kami untuk melindungi hak dan kepentingan para penerbit buku yang menjadi majoriti kepada pempamer PBAKL. Kami berterima kasih kepada MBKM dan ahli JKP PBAKL yang mendengar, memberi respons positif dan bersedia untuk menjalankan semua penambahbaikan yang kami sarankan.

MABOPA telah mendapatkan kata putus daripada Pengerusi JKP PBAKL sendiri bahawa “Dialog ke Arah PBAKL yang Lebih Baik” yang dijadualkan pada 29 Disember 2023 ini akan menjadi satu lagi saluran rasmi untuk mendengar daripada semua pihak yang berkepentingan dalam PBAKL ini termasuklah semua penerbit buku yang sentiasa menjayakan PBAKL sebagai para pempamer.

MABOPA juga telah diberi jaminan bahawa tidak ada “pre-determined outcome of the dialogue” seperti yang dinyatakan dalam beberapa e-mel yang kami terima. Atas jaminan ini, MABOPA mengalu-alukan kedatangan semua penerbit buku ke sesi dialog ini untuk sama-sama kita berusaha untuk mendapatkan solusi terbaik bagi PBAKL 2024 dan PBAKL seterusnya. Tidak perlu RSVP, semua penerbit boleh “walk-in” terus ke pejabat MBKM, di Blok 2251, Bangunan Mustapha Kamal, Cyberjaya pada 29 Disember 2023 jam 3.00 petang.

Tamat Kenyataan
Kuala Lumpur: 23hb Disember 2023

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Copyright © 2024 Malaysian Book Publishers Association (PPM-002-10-14011969)