Halatuju Industri Buku Dalam Membina Negara Maju – Perspektif Penerbit

Baru-baru ini, suasana industri buku tanah air mengalami gelombang perkembangan yang amat menggalakkan. Detiknya bermula dengan langkah Kerajaan mengisytiharkan agenda untuk meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai yang lebih tinggi; meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama. Inilah dua agenda teras yang diketengahkan di antara lima teras utama RMK9.

HALA TUJU INDUSTRI BUKU DALAM MEMBINA NEGARA MAJU – PERSPEKTIF PENERBIT
oleh Law King Hui,
Pengerusi,
Majlis Industri Buku Negara

Baru-baru ini, suasana industri buku tanah air mengalami gelombang perkembangan yang amat menggalakkan. Detiknya bermula dengan langkah Kerajaan mengisytiharkan agenda untuk meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai yang lebih tinggi; meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama. Inilah dua agenda teras yang diketengahkan di antara lima teras utama RMK9.

Dalam usaha mencapai cita-cita menjadi negara maju menjelang 2020, kita memerlukan modal insan berkualiti yang mempunyai minda kelas pertama. Dan untuk memupuk minda kelas pertama dalam kalangan modal insan pula, kita memerlukan sokongan industri buku yang hebat. Hal ini penting sekali disedari kerana bukulah yang merupakan sumber utama kepada santapan minda insan yang seterusnya memungkinkan kita memperoleh dan menjana ilmu baru dan teknologi terkini.

Untuk memastikan perkembangan industri buku bergerak dengan lebih pantas, Jawatankuasa Penggerak Dasar Buku Negara yang dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Pelajaran dan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan telah ditubuhkan. Penubuhan jawatankuasa ini bertujuan memberikan tumpuan yang lebih terfokus kepada pelbagai aspek, antaranya termasuklah meningkatkan judul buku tempatan dan menggalakkan minat membaca. Supaya tujuan yang digariskan itu tercapai, lima Jawatankuasa Kerja telah diwujudkan, iaitu:

A. Jawatankuasa Kerja Pembentukan Dasar, Akta, Organisasi, dan Amalan Profesionalisme
B. Jawatankuasa Kerja Pembangunan Modal Insan Industri Penerbitan dan Perbukuan
C. Jawatankuasa Kerja Penggalakan Minat Membaca dan Pembangunan Perpustakaan Komuniti
D. Jawatankuasa Kerja Promosi, Penjenamaan, Pengiktirafan, dan Pemasaran
E. Jawatankuasa Kerja Pembangunan Penggalakan Industri Penterjemahan

Sejajar dengan penubuhan jawatan-jawatan kuasa kerja tersebut, beberapa langkah yang dijangka memberikan kesan langsung kepada industri buku tempatan telah pun diambil. Antaranya termasuklah pelancaran Kempen Membaca Kebangsaan yang akan dilaksanakan secara lebih meluas sepanjang tahun dan keputusan mengembangkan Perpustakaan Desa/Komuniti dengan peruntukan sebanyak RM32 juta untuk pembelian buku terbitan tempatan yang baru diisytiharkan oleh Perpustakaan Negara. Tidak lama sebelum ini pula, Kementerian Pelajaran melalui Bahagian Teknologi Pendidikan telah membeli buku-buku bernilai RM22 juta untuk pusat sumber sekolah daripada pengusaha-pengusaha industri buku tempatan.

Pada umumnya, perbelanjaan sedemikian merupakan antara langkah-langkah yang paling efektif untuk mengembangkan industri buku tempatan. Tanpa pembelian tersebut oleh Kerajaan, jualan terbitan tempatan sememangnya tidak menggalakkan, malah ada di antara judul-judul berkenaan yang jualannya hanya berjumlah 1000 naskhah sahaja. Hal ini tidak memungkinkan wujudnya aktiviti penerbitan yang aktif kerana tanpa economies of scale, kos penerbitan dan seterusnya harga buku akan turut menjadi tinggi. Harga yang tinggi ini kemudiannya akan mengakibatkan jualan buku-buku tersebut terjejas, dan dalam vicious circle ini, perkembangan industri buku negara akan berpusing-pusing tanpa dapat bergerak ke depan.

Dengan adanya dasar-dasar baru yang menggalakkan ini, pengusaha industri buku hendaklah bersedia memberikan sokongan sepenuhnya dengan tahap komitmen yang semaksimum mungkin. Para pengusaha perlu juga mengatur langkah yang seiring dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan masyarakat Malaysia sebagai masyarakat pembaca. Lantaran itu, para pengusaha tidak harus mementingkan keuntungan saja sehingga melupakan tanggungjawab sosial yang sepatutnya dipikul bersama. Para pengusaha industri buku harus meningkatkan kualiti perkhidmatan masing-masing, baik dari segi kualiti penerbitan dan percetakan mahupun dari segi penyampaian.

Dalam pada itu, harga buku harus juga diletakkan pada kadar yang mampu dibeli agar dapat dimiliki oleh segenap lapisan masyarakat. Seterusnya, keuntungan daripada hasil jualan haruslah dilaburkan semula dalam program penerbitan yang berikutnya untuk memastikan pertumbuhan syarikat yang sentiasa berdaya tahan (sustainable). Kegiatan ini kelak akan dapat juga menjamin dan meningkatkan kemahiran membaca dalam kalangan pengguna hasil daripada pembacaan pelbagai genre bahan bacaan yang lebih banyak. Dengan demikian, harapan Y.B. Dato’ Sri Hishamuddin Tun Hussein supaya negara kita mencapai sasaran 25,000 judul terbitan baru setahun akan dapat dicapai.

Sebagai langkah jangka panjang, diharapkan Kerajaan dapat memastikan bahawa peruntukan untuk pembelian buku ini bukan saja diteruskan dan dikekalkan tetapi juga diberi keutamaan dan malah ditambahkan tahun demi tahun. Langkah ini akan dapat memberikan keyakinan kepada para pengusaha buku tempatan untuk terus melabur secara besar-besaran dalam program penerbitan mereka, lantas memesatkan perkembangan industri buku negara. Untuk sebab ini juga, Kerajaan harus memberikan kontrak-kontrak pembelian buku kepada para pengusaha buku yang berwibawa saja.

Para pengusaha pula mesti meningkatkan keupayaan masing-masing dari segi penerbitan dan juga tahap profesionalisme dari segi pengurusan. Hal ini harus bergerak seiring sejajar dengan tanggungjawab yang semakin besar dan semakin berat. Akhir sekali, para pengusaha industri buku tempatan mesti mempunyai minda kelas pertama sebelum industri buku negara dapat berkembang pesat seperti yang dikehendaki bersama dengan Kerajaan.

Copyright © 2024 Malaysian Book Publishers Association (PPM-002-10-14011969)