Sejarah

Sejarah MABOPA

Buku merupakan wadah yang sangat penting bagi pembangunan sesebuah negara. Buku memainkan peranan utama dalam proses komunikasi. Buku menyalurkan ilmu, membantu proses integrasi sosial dan nasional, menonjolkan nilai budaya setempat, memudahkan penyertaan orang ramai dalam aktiviti pembangunan dan menggalakkan pembangunan kerjasama peringkat antarabangsa. 

Penerbitan boleh dikatakan sebagai salah satu industri terpenting bagi sesebuah negara. Penerbitan merupakan rantaian aktiviti yang berlaku antara saat sesuatu idea tercetus dalam fikiran seseorang, yang membawa kepada kewujudan buku di rak buku di rumah atau perpustakaan. Pemain utama dalam rantaian aktiviti ini ialah penulis yang menyumbangkan manuskrip yang akhirnya bertukar menjadi bentuk buku; pencetak yang mengawasi aspek fizikal proses pengeluaran buku; dan penjual buku yang menawarkan buku-buku yang dihasilkan itu kepada masyarakat yang membaca.


Tahun-tahun Awal

Usaha penerbitan terawal hanya bermula pada awal tahun 1800-an. Sebelum itu, buku kebanyakannya dibawa masuk dari England. Kemudian, buku juga diimport dari China dan India untuk kegunaan masyarakat imigran Cina dan India. Sekolah pertama di Tanah Melayu dibuka pada 21 Oktober 1816, dan menjelang 1898 terdapat 131 buah sekolah. Buku-buku pada tahun-tahun terawal ini diimport dari England manakala penulis perintis bagi sekolah-sekolah Melayu ialah Syed Mahmud bin Syed Abdul Kadir (1865-1913).

Usaha pertama bagi menguruskan penerbitan buku secara tersusun dan teratur adalah melalui penubuhan sebuah unit khas dalam Maktab Perguruan Guru Melayu, iaitu Biro Terjemahan Kolej Sultan Idris, yang ditubuhkan pada tahun 1924. Objektif utama biro ini adalah untuk menghasilkan sebanyak mungkin buku bagi digunakan di sekolah-sekolah Melayu dan untuk menghasilkan bahan bacaan bagi kegunaan masyarakat umum.

Pada masa itu, aktiviti penerbitan buku dalam sektor swasta belum begitu teratur. Kebanyakan jenis penerbitan, itu pun agak tidak menentu, adalah terutamanya dalam bidang kesusasteraan. Penerbitan novel pendek yang agak banyak, kebanyakannya karya asli di samping beberapa karya terjemahan daripada bahasa Inggeris dan Arab, merupakan satu lagi pencapaian dalam sejarah perkembangan buku sebelum zaman perang. 


Malah, disebabkan permintaan terhadap kebanyakan buku yang diperlukan pada waktu itu adalah terhad, maka adalah lebih menjimatkan untuk mengimport daripada menghasilkan buku tersebut dalam negara. Oleh sebab itu, tidak menghairankan apabila laporan Book Trade of the World melaporkan bahawa bilangan syarikat penerbitan (asing dan tempatan) di negara ini tidak melebihi 15. Daripada jumlah ini,  hanya enam boleh dianggap sebagai syarikat tempatan.


Faktor paling penting yang mendorong pertumbuhan aktiviti penerbitan buku pasca perang di Malaysia ialah pengenalan Sistem Pendidikan Kebangsaan yang dicadangkan dalam Laporan Jawatankuasa Razak. Bidang pendidikan bukan sahaja diangkat menjadi agenda Kerajaan Persekutuan, malah satu silibus umum untuk semua jenis sekolah turut diperkenalkan, dan proses untuk menggantikan bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama perlahan-lahan mula dilaksanakan. Dasar baharu ini memerlukan bekalan buku dalam kuantiti yang mencukupi bagi memastikan kejayaan perlaksanaannya. Kerajaan tidak dapat menunggu pertumbuhan penerbitan swasta untuk menangani masalah baharu ini. Dengan itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang ditubuhkan pada tahun 1956 sebagai sebuah jabatan bawah Kementerian Pendidikan, telah diberikan tanggungjawab besar untuk menghasilkan buku teks baharu.


Pada waktu itu, belum ada penerbitan swasta bagi menampung permintaan terhadap buku sekolah yang begitu besar dan secara mendadak ini. Beberapa syarikat penerbitan yang wujud sebelum tahun 1957 tidak dapat bertahan dalam masa-masa sukar semasa perang, dan sama ada telah menutup ataupun mengecilkan perniagaan masing-masing. Dengan mengambil iktibar daripada kejayaan DBP, beberapa syarikat penerbitan baharu mula bertapak. Kebanyakan penerbit ini merupakan penjual buku atau pencetak yang telah lama berurusan secara langsung dengan penulis tempatan. Penerbit asing yang mempunyai pejabat tempatan juga mula menerbitkan buku tempatan dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, dan banyak yang mengadakan usaha sama penterjemahan dan pengeluaran dengan DBP. 


Pengenalan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar pada tahun 1961, bermula dengan Darjah 1, telah mengubah sepenuhnya senario penerbitan tempatan. Permintaan terhadap buku karya tempatan telah melonjakkan pertumbuhan industri penerbitan.


Pembentukan MBPA (Pelopor MABOPA)

Inisiatif kerajaan yang dikatakan paling bermakna dalam pembangunan industri penerbitan di Malaysia adalah melalui penubuhan Majlis Kemajuan Buku Kebangsaan (MKBK). Majlis ini ditubuhkan pada tahun 1968 bawah kelolaan Kementerian Pendidikan atas saranan UNESCO, yang telah meminta semua negara membangun untuk membentuk majlis buku mereka sendiri. Walau bagaimanapun, majlis ini tidak aktif sehinggalah tahun 1981, apabila ia diaktifkan semula dan Menteri Pendidikan secara rasminya melantik ahli-ahli baharu untuk menganggotai majlis tersebut.

Pada bulan Disember 1982, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan telah menyalurkan geran sebanyak RM100,000 untuk membolehkan MKBK menjalankan aktivitinya dengan lebih berkesan, khususnya dalam mempromosikan tabiat membaca di kalangan rakyat Malaysia. UNESCO juga memainkan peranan penting dalam mempromosikan penerbitan buku dan hasilnya, pada 24 Julai 1967, sebuah jawatankuasa sementara (pro tem) MBPA (Malaysian Book Publishers Association) yang terdiri daripada penerbit tempatan dan juga penerbit asing yang mempunyai anak syarikat tempatan telah dibentuk. Encik Ghazali bin Yunus (Franklin Books Programme) telah dipilih sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sementara, Encik Ashraf bin Hj. Wahab (OUP) sebagai Naib Pengerusi, Encik R. Narayan Menon (Rayirath Raybooks Publications) sebagai Setiausaha Kehormat dan Encik Abdul Latif bin Shamsuddin (Longman Malaysia) sebagai Ahli Jawatankuasa. Jawatankuasa Sementara ini telah bermesyuarat sebanyak 4 kali sebelum sebuah Mesyuarat Agung diadakan untuk melancarkan MBPA secara rasminya pada 18 Mei 1968. 

Seramai 11 orang ahli telah menghadiri Mesyuarat Agung sulung MBPA. Mereka ialah:

1. Encik Abdul Aziz Ahmad – Pustaka Antara

2. Encik Anthony Wong - Far Eastern Publishers (M) Ltd.

3. Encik Beda Lim – Penerbit Universiti Malaya

4. Encik B. Mohamad Kassim - Peninsula Publications

5. Encik Foo Teck Koon – Cosmos Distributors

6. Encik Ghazali Yunus – Franklin Books Programme

7. Encik Khaw Soon Huat – Macmillan & Co. Ltd.

8. Encik Koh Yee Cheng – Pustaka Pendidikan Sdn. Bhd.

9. Encik RGB Duncan – Longman Malaysia Sdn. Bhd.

10. Encik Rustaff Ahmad Effendy – Pustaka Melayu Baru

11. Wakil daripada United Publishers Services


Persatuan ini telah secara rasminya didaftarkan sebagai Persatuan Penerbit Buku Malaysia oleh Pendaftar Pertubuhan pada 14 Januari 1969. Bilangan ahli pada tahun 1969 adalah seramai 16. Bahagian Buku Teks Kementerian Pendidikan pula ditubuhkan pada tahun 1967. Kerajaan secara wajarnya berpendapat telah tiba masanya untuk menjaga kualiti buku yang diterbitkan untuk sekolah. Bahagian Buku Teks telah diberi tanggungjawab untuk mengawal kualiti buku teks, penggunaan buku teks di sekolah, harga buku teks serta bekalan dan jualan buku teks. Untuk memenuhi fungsi ini, bahagian ini diberi kuasa menilai dan memperaku semua judul buku teks untuk kegunaan sekolah rendah dan menengah.


Perubahan pasaran yang disebabkan oleh silibus baharu dan perubahan bahasa pengantar daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu ini telah memberikan dorongan bagi pertumbuhan penerbit di Malaysia. Kebanyakan penerbit menyedari mereka perlu meningkatkan tahap profesionalisme dan kualiti penerbitan mereka. Para penerbit ini mengharapkan MBPA untuk memberikan panduan dan platform bagi membincangkan segala masalah mereka. Menjelang tahun 1980, keahlian MBPA telah meningkat daripada hanya 16 kepada 88.


Untuk memastikan ahli memperoleh sebanyak mungkin manfaat, MBPA telah bekerjasama dengan MKBK untuk menganjurkan Pesta Buku Malaysia seawal tahun 1982. Sehingga tahun 1991, sebanyak 10 pesta buku telah berjaya dianjurkan termasuklah Pameran Buku Antarabangsa Pertama pada 22 Januari 1990.


MBPA juga mengambil inisiatif untuk menganjurkan Konvensyen Perdagangan Buku pada tahun 1983 di Genting Highlands. Persidangan ini bukan sahaja memberi peluang untuk para penerbit beramah mesra, tetapi juga menyediakan ruang bagi membincangkan masalah umum yang dihadapi dengan para penjual dan pengimport buku. Persidangan ini turut dihadiri para pegawai MKBK. Selepas itu banyak lagi konvensyen yang telah dianjurkan oleh pihak-pihak yang terlibat secara bergilir-gilir.


Persatuan penerbit juga merasakan perlu untuk menganjurkan seminar bagi manfaat ahli-ahlinya. Antara seminar penting yang telah diadakan ialah:

1. Seminar Jualan Hak dan Hak Cipta (15-18 Jun 1987)

2. Seminar Pembangunan dan Pengurusan Penerbitan Buku (14-18 Januari 1991)

3. Seminar tentang Hak Cipta dan Konvensyen Berne (1 Oktober 1991)


Hubungan Antarabangsa


Melalui usaha UNESCO pada awal tahun 1960-an, para penerbit di Asia Tenggara juga digalakkan untuk membentuk persatuan mereka sendiri. Indonesia membentuk IKAPI, Singapura membentuk SBPA, begitu juga Thailand serta Filipina yang membentuk persatuan penerbit masing-masing. MBPA telah mengambil inisiatif untuk membentuk Persatuan Penerbit-penerbit Asia Tenggara pada tahun 1970 bersama-sama persatuan penerbit negara-negara Asia Tenggara yang lain. 


Selanjutnya, MBPA menjadi ahli Persatuan Penerbit Antarabangsa (International Publishers Association; IPA) yang mempunyai ibu pejabat di Geneva. MBPA juga menghantar perwakilan untuk menghadiri konvensyen antarabangsa yang diadakan di negara-negara anggota yang lain. Konvensyen seumpama ini sangat bermanfaat kepada para  perwakilan kerana pelbagai perkembangan dibincangkan dan mereka juga mengkaji cara pelbagai pihak menangani masalah penerbitan di negara masing-masing.


MBPA juga menggalakkan ahli-ahlinya menghadiri pelbagai pameran buku antarabangsa, terutamanya yang diadakan di Frankfurt, London, Bologna, IBA USA, New Delhi, Tokyo, Beijing dan Singapura. Usaha ini dapat membantu ahli-ahli untuk melihat perkembangan di bahagian lain dunia, membeli hak penerbitan asing untuk diterbitkan dalam negara, dan juga berpeluang untuk mempamerkan hasil penerbitan sendiri di luar negara.


Perubahan Nama daripada MBPA kepada MABOPA


Pada tahun 1991, bilangan ahli telah meningkat kepada 100. MBPA yang telah sekian lama berada bawah kepimpinan Datuk Abdul Aziz bin Ahmad sebagai Presiden sangat aktif sehingga berjaya membeli bangunan sendiri di Subang Jaya. Ahli-ahli juga semakin aktif berpersatuan. Presiden baharu yang dipilih, En Ghazi H. Ramli, telah mencadangkan perubahan nama persatuan kepada MABOPA. Cadangan beliau telah diterima oleh ahli-ahli.


MABOPA Meraikan Jubli Perak 


Pada tahun 1994, MABOPA telah meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-25. Beberapa acara telah diadakan termasuk sebuah majlis makan malam yang mempertemukan semua pemain industri penerbitan Malaysia dalam sebuah majlis yang gilang-gemilang. 


Pada hari ini, MABOPA merupakan sebuah persatuan perbukuan yang kukuh dengan ahli-ahli yang komited serta sedia bekerjasama antara satu sama lain. Adalah diharapkan ahli-ahli MABOPA akan meneruskan kerjasama erat ini demi kelangsungan dan kegemilangan industri penerbitan buku negara.


 

 

Acknowledgements:
  En. Hasrom Haron
  En. Abdul Manaf Saad
  Cik Rabiatul Adawiyah Arshad
  Dr. Azamuddin Ibrahim

  Diterjemah oleh:

Puan Zainora Muhamad